Friday, August 1, 2008

ISLAM, ISLAM, ISLAM...

Bagi mereka yang bukan beragama Islam, memperkatakan tentang Islam adalah sesuatu yang fenomenal dewasa ini. Ada pengganas Islam, Islamofobia, jihadis, islamis, dan mungkin akan diwujudkan istilah-istilah lain di hari muka. Istilah-istilah ini muncul setelah ekstremis, militan, fundamentalis didapati tidak begitu serasi lagi dengan pergerakan atau aktivis umat Islam.

Malaysia pula begitu kalut dengan Islam Hadhari, yang memperincikan secara jelas dan berprinsip tentang konsep ini. Seperti juga dengan umat Islam di negara-neagra lain, Malaysia tidak ketinggalan dalam mendapat pertentangan dan bangkangan dari umat Islam sendiri. Mereka tidak mahu langsung menilai Islam Hadhari dari konteks konseptualnya, melainkan hentam mengikut apa yang ada pada mereka. Ini termasuklah ilmu Islam, perjuangan Islam, politik Islam dan sebagainya.

Dengan itu, jika bukan-Islam begitu kalut dalam memperkatakan tentang Islam dari perspektif masing-masing, bolehlah difahami. Namun, bagi umat Islam, istilah kalut tidak begitu sesuai. Istilah yang lebih tepat ialah kemaruk!

Kenapa kemaruk? Mereka hendakkan Islam, tetapi tidak tahu bagaimana hendak lakukan, di mana titik mulanya, di mana pula titik akhirnya... Apa yang mereka lihat mempunyai ciri-ciri Islam, maka dengan segeranya dikatakan : inilah Islam.

Selepas 50 tahun umat Islam Malaysia merdeka, apa yang telah mereka lakukan terhadap perjuangan Islamnya? Pertama, mereka inginkan undang-undang negara - perlembagaan - berlandaskan pada ajaran Islam (Quran dan Hadis) tapi mereka sendiri tidak pula mengemukakan contoh bertulis dan berdokumentasi. Situasi ini berlaku selepas 50 tahun..., bukannya 50 hari!

Kedua, mereka kemaruk dengan penubuhan negara Islam. Negara Islam yang ada tidak diiktiraf kerana terlalu banyak kelemahan, dan masih bertunjangkan pada peninggalan penjajah. Sekali lagi, bila di minta untuk mengemukakan dokumentasi mengenai konsep negara Islam, mereka hanya dapat mengeluarkan dokumen yang tidak mendapat keyakinan malah dari golongan mereka sendiri! Lantas, soal negara Islam pun terbiar... dan ini pun selepas 50 tahun.

Ketiga, mereka membuat pelbagai perubahan dan pembaharuan dalam amalan individu (aspek pakaian yagn amat menonjol), masyarakat (mengetatkan peraturan mengasingkan lelaki dan perempuan), pendidikan (ilmu-ilmu Islam dan pusat-pusat pendidikan) dan juga kerajaan (melalui kepimpinan ulamak, dasar pembangunan Islam dan sebagainya). Rupa-rupanya apa yang terjadi ialah ibarat mak andam, yang hanya melakukan penambahan alat solek, rupa penampilan, pakaian yang anggun lagi bergaya, dan sebagainya. Kosmetik aje!

Keempat, bila pemimpin politik diajak bersatu dengan umat Islam dari parti lain. Dengan jelas mereka menolaknya. apa yang boleh dilakukan hanyalah pertemuan, atau muqabalah dan muzakarah. Barangkali mereka memahami masalah yang dihadapi oleh umat Islam ini hanya setakat berbincang di kedai kopi saja!

Kelima, dan ini amat teruk! Pemimpin politik sanggup berpakat dengan bukan Islam yang menolak penubuhan negara Islam. apakah mereka tidak sedar dan tidak pedulikan pada status Islam sebagai agama resmi negara? Atau sememangnya mereka tidak faham mengenai status ini! Saya pilih tak faham!

Inilah antara aspek kemaruk Islam, Islam, Islam...